Friday, May 17, 2013

Mesej kepada Jemaah Gereja di Malaysia: tentang Kristian dan Politik

Ada orang bertanya kepada saya, ‘Bro Richard, wajarkah gereja melibatkan diri dalam hal-hal politik?’ ‘Kenapa kamu bertanya begitu?’ saya menjawab. ‘Sebab pastor saya mengatakan bahawa kami tidak harus melibatkan diri dengan hal-hal politik kerana ianya ialah perkara duniawi dan orang Kristian harus menjauhinya dan tidak perlu mengambil peduli... yang penting ialah iman kita kepada Kristus’. Secara jujur saya tidak terkejut dengan respon dia, tetapi, saya sangat kecewa dengan penjelasan yang diberikannya. Adakah semua pemimpin gereja berpendapat seperti ini? Tidak, tidak semua. Jadi, mesej ini saya tujukan kepada pemimpin dan jemaah gereja yang mempunyai pendapat sebegitu.
Bagi kita orang Kristian, adalah sangat pelik jika kita bertanya bolehkah jemaah gereja melibatkan diri dengan hal-hal politik kerana di dalam Alkitab, Allah sendiri sangat perihatin dalam setiap aspek kehidupan manusia. Allah ialah Tuhan ke atas segala-galanya! Di dalam cerita Perjanjian Lama, kerajaan pada mulanya diasaskan oleh Allah sendiri dan kemudian diamanahkan kepada hakim-hakim dan selepas itu kepada raja-raja. Dalam mengasaskan kerajaan, Allah sangat perihatin tentang keadilan, kebenaran dan belas-kasihan. Dia mengambil berat agar semua itu ditaati dan setiap orang akan mendapat pelindungan dan berkat. Allah ialah Tuhan yang mencukupi dan – Dialah yang berkuasa.
Karena aku para raja memerintah,
dan para pembesar menetapkan keadilan.
Karena aku para pembesar berkuasa
juga para bangsawan dan semua hakim di bumi
(Amsal 8:15-16, TB)
Apabila Allah membenarkan orang Israel untuk mempunyai seorang raja (Pada mulanya, Allah ialah satu-satunya raja mereka. Tetapi, orang Israel berkeras mahukan seorang raja seperti negara-negara yang lain. Jadi, Saul dipilih sebagai raja pertama orang Israel), Dia memberikan amaran yang keras bahawa penyalahgunaan kuasa pasti akan berlaku. Walaupun begitu, Allah akan memilih sendiri siapakah raja yang layak memerintah dan juga memanggil nabi-nabi untuk terus mengingatkan raja yang memimpin tentang Hukum-hukum Taurat dan kehendak-Nya (lihat 1 Samuel bab 8 hingga 12).
Di dalam Perjanjian Baru pula, Tuhan Yesus mengajar agar kita “[mem]berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah” (Markus 12:17, BM). Di sini jelas sekali bahawa kita mempunyai kewajiban terhadap kerajaan manusia yang memerintah dan terhadap kerajaan Alllah. Ramai orang berpendapat bahawa Firman Yesus ini bermaksud ada dua kerajaan yang berbeza dan oleh itu – ada dua alam dan dua set piawai yang berbeza. Bagi Martin Luther, pengasas refomasi, Yesus Kristus berkuasa ke atas kedua-dua kerajaan ini dan berkata bahawa tidak ada jurang perbezaan dari segi piawai moral. Bagi rasul Paulus dan rasul Petrus (baca khususnya surat Roma dan 1 Petrus dalam Perjanjian Baru), kita orang Kristian adalah di bawah subjek kerajaan pemerintah yang berkuasa dan mereka pula di bawah subjek dan bertanggungjawab ke atas kesaksian dan perbuatan mereka kepada Allah.
Jadi, soalan “Bro Richard, wajarkah gereja melibatkan diri dalam hal-hal politik?” sudah terjawab di sini. Persoalannya bukan lagi tentang wajar atau tidak wajar; persoalannya sekarang ialah: Bagaimana jemaah gereja atau orang Kristian boleh melibatkan diri dalam hal-hal politik di negara kita Malaysia?
Di dalam kerajaan Malaysia, perlembagaan mengisytiharkan bahawa Islam ialah agama rasmi negara sementara agama-agama lain termasuk agama Kristian (sepatutnya) mempunyai kebebasan beragama. Oleh itu, kebanyakkan undang-undang negara mempunyai unsur-unsur Islam dan kita harus menghormatinya. Walaupun begitu, kita sebagai orang Kristian tidak semesti hanya berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa. Tuhan Yesus berfirman agar setia umat-umat-Nya menjadi “garam dan cahaya kepada dunia” yang kita tinggal sekarang – dimana sahaja kita berada. Terima kasih kepada perlembagaan Malaysia terdahulu sampai sekarang, pengikut Kristus mempunyai peluang dan tanggungjawab yang terbuka luas seperti menjadi wakil parlimen negeri dan negara, guru di sekolah dan juga melalui media untuk memuliakan Kristus dan mengajar dan memperkenalkan prinsip-prinsip Kristian kepada dunia.
Kita tahu bahawa hanya lebih kurang 9% orang Kristian di seluruh Malaysia. Namun begitu, kita harus sedar bahawa kita (walaupun jumlah kita sedikit) memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat untuk menjadi suara kepada orang yang tertindas, menjadi jambatan untuk menyatukan setiap bangsa dan untuk terus berbakti kepada negara melalui pelbagai cara – sesuai dengan ajaran Alkitab. Saya tidak bermaksud agar jemaah gereja atau orang Kristian (atau gereja secara keseluruhannya) untuk berkompromi dalam kebenaran atau mencari kekuasaan politik – tetapi – mengingini, berdoa, berharap agar jemaah gereja menjadi seperti nabi-nabi terdahulu; bernubuat kepada orang ramai, menjadi suara kepada orang yang tertindas, menentang ketidakadilan dan mengingatkan orang ramai tentang hukum-hukum Allah atau Firman Allah – tentang berkat apabila kita mentaat-Nya dan tentang kutukkan apabila kita tidak taat kepada-Nya.
Sebelum dan selepas pilihanraya umum 2013 (GE13) terutamanya, kita melihat dan membaca banyak perkara yang berlaku. Ada orang Kristian yang keliru dan ada yang mahu mengambil jalan tengah. Ada yang terlalu fanatik dan ada juga tidak ambil tahu langsung. Ada yang berapi-api dan ada juga yang suam. Jadi, apakah tindakkan jemaah gereja selepas ini? Pemimpin-pemimpin gereja, apakah reaksi dan respon kamu jika ada jemaah yang bertanya; ‘pastor, wajarkah gereja melibatkan diri dalam hal-hal politik’?  Saya berharap, (sebagai jemaah gereja sendiri) agar kita sebagai satu tubuh dalam Kristus dapat bersatu. Pemimpin khususnya dan kita orang Kristian amnya, harus menggalakkan umat gereja yang terpilih untuk menjadi pemimpin-pemimpin politik (tidak kiralah samada sebagai wakil kerajaan atau sebaliknya) dan dalam apa saja penglibatan dalam negara dengan menyokong dan berdoa untuk mereka. Salah satu caranya untuk kita menjadi “garam dan cahaya” (Matius 5:13-16) ialah dengan memastikan bahawa proses politik di negara kita dijalankan mengikut kehendak Allah iaitu supaya tindakkan yang jahat dapat diatasi dan yang mulia dan yang baik diteruskan. Amen.
Wahai pemimpin dan jemaah gereja, “jika kamu bertelinga,
dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Sumber: http://wordspeakstoday.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment